3/8/10

Huraikan taktik dan Strategi dalam ketahanan dan pertahanan di China dan Eropah dengan merujuk kepada pemikir ketenteraan Sun Tzu dan Niccolo Machiave

Pengenalan
Ketahanan dan pertahanan memainkan peranan penting pada peringkat awal tamadun manusia. Ketahanan melibatkan usaha menghalang dan keupayaan menangung sesuatu dalam medan peperangan, sementara pertahanan pula merupakan usaha mempertahankan kubu dan benteng daripada serangan musuh. Bagi tujuan kemenangan dalam sesuatu peperangan, strategi amat penting bagi mengalahkan musuh. Di negeri China, Sun Tzu merupakan tokoh pemikir ketenteraan yang banyak menyumbang idea dalam strategi peperangan. Di Eropah pula tokoh yang tidak asing ialah Niccolo Machiavelli. Beliau telah banyak menyumbang idea dalam taktik peperangan di Eropah.

Isi
Sun Tzu merupakan tokoh pemikir ketenteraan yang disegani. Ideanya dalam buku “Seni Peperangan” merupakan buku ketenteraan yang paling tua di kalangan karya-karya klasik China. Menurut buku ini, seseorang pemimpin negara sebolehnya menghindari peperangan yang hanya didorong oleh perasaan marah. Bagi beliau, untuk mengatasi perasaan marah dan dendam, kita perlulah sentiasa riang dan penuh kemaafan. Beliau menambah, keutamaan rakyat perlu diutamakan, kerana apabila berlaku peperangan, ia melibatkan nyawa yang pastinya tidak boleh hidup semula.

Unsur moral adalah penting dalam peperangan. Seseorang pemimpin Negara haruslah membuat pertimbangan dan penelitian yang rapi terlebih dahulu dan juga membuat andaian nasib yang akan menimpa rakyat jika berlaku peperangan. Perkara ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam bab “Anggaran” dimana pertimbangan peperangan harus diutamakan kerana ia melibatkan nyawa seseorang dan hidup matinya sesebuah negara.

Menurut Sun Tzu lagi, jika berlaku peperangan, janganlah mengambil masa yang panjang. Apa yang penting ialah mengecapi kemenangan dan bukan tempoh peperangan. Peperangan yang berlarutan tidak membawa faedah malah ia akan menyebabkan kemusnahan dalam sesebuah Negara.

Jika menyerang musuh, adalah lebih baik menawan musuh daripada memusnahkan negara mereka. Beliau sesungguhnya menekankan perdamaian daripada melakukan kekerasan ke atas sesebuah negara. Pengetahua mengenai diri sendiri dan pihak musu merupakan satu strategi penting. Seorang jeneral harus mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang pasukan sendiri dan musuh.

Sun Tzu memberi amaran yang tegas bahawa penggunaan api dalam peperangan dilarang samasekali kecuali dalam keadaan terdesak. Selain itu Sun Tzu juga membicarakan tentang perhubungan raja dengan pegawai, akhlak, emosi, mutu intelek seorang jeneral yang baik dilihat dari sudut organisasi, gerakan, perancangan, kawalan, muka bumi dan cuaca.

Sun Tzu menegaskan lagi bahawa penggunaan perisik adalah penting bagi melemahkan pihak lawan dari dalam. Golongan ini boleh dianggap musuh dalam selimut. Tugas-tugas ejen perisik ini ialah menyebarkan khabar angin, memberikan maklumat yang mengelirukan musuh, member rasuah kepada pegawai pihak lawan dan mewujudkan keadaan tidak tenteram. Dengan kaedah ini, kemenangan dalam peperangan pasti berlaku.

Di Eropah pula, tokoh pemikir ketenteraan yang terkenal pada abad ke 16 ialah Niccolo Michiavelli. Beliau telah memperkenalkan taktik penguasaan tampuk pemerintahan dan strategi peperangan secara saintifik. Hasil karyanya The Prince, Art of War dan Discourses yang membincangkan cara-cara seseorang pemerintah mengekalkan kuasa mereka dan menggariskan beberapa prinsip peperangan.

Bagi Niccolo Michiavelli, seseorang pemerintah yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan akan mendapat sokongan padu daripada mereka yang dianggap berbahaya pada peringkat permulaannya berbanding daripada mereka yang boleh dipercayai. Kejayaan seseorang pemerintah bergantung kepada kejayaan yang dimiliki, bantuan kewangan dan ketenteraan dari luar

Seseorang pemerintah yang berwibawa, harus memperkenalkan undang-undang yang efektif, selain membentuk pasukan tentera yang kuat dan berwibawa. Seseorang pemerintah juga perlu liberal, berperikemanusiaan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kedudukannya dan kerajaan.

Pemerintah perlu yakin ke atas apa sahaja tindakannya terhadap penyokong dan musuhnya dan tanpa ragu-ragu melakukan perkara-perkara luar biasa demi menyelamatkan kedudukannya dan kerajaan. Pemerintah juga mesti pandai berpura-pura dan menguasai art of deceit.

Kesimpulannya
Taktik dan strategi peperangan memainkan peranan penting dalam peperangan. Idea-idea Machiavelli yang agresif dalam mencapai matlamat telah digunakan dengan meluas dan membawa kepada penubuhan beberapa buah Negara bangsa di Eropah seperti England, Sepanyol dan Perancis. Manakala idea Sun Tzu menjadi panduan kepada kebanyakan Negara Barat dan dikaji dan digunakan oleh Napoleon Bonarparte dan tentera Nazi Jerman, Jepun, Korea dan ahli-ahli teori China. Walaubagaimanapun setiap taktik dan strategi peperangan yang dilaksanakan bergantung kepada situasi negara pada masa itu

No comments:

Post a Comment