6/26/11

Apakah yang anda faham dengan konsep Negara bangsa? Bincangkan pembentukan Negara bangsa di Negara-negara Eropah iaitu England, Perancis dan Sepanyol.

Negara bangsa merupakan satu Negara yang mempunyai rakyat yang berciri sama iaitu dalam agama, bahasa dan budaya. Negara bangsa terbentuk apabila rakyatnya berjaya disatukan di bawah satu pemerintahan yang berdaulat. Dalam Negara bangsa, rakyatnya terutamanya golongan majoriti terikat oleh semangat nasionalisme yang lahir daripada persamaan ciri-ciri antara mereka. Semangat nasionalisme ini menyebabkan mereka sanggup berjuang demi Negara dan bangsa. Setelah kemunculan Negara bangsa di Eropah, empayar, Negara kota dan Negara feudal telah digantikan sebagai corak Negara eropah.

Kemunculan Negara bangsa berasaskan beberapa faktor. Antaranya ialah kegagalan sistem feudal. Masyarakat Eropah sebelum kemunculan konsep negara bangsa terikat kepada sistem feudal yang menyusun masyarakatnya secara berperingkat. Dalam sistem ini, raja terdapat di atas sekali dan di bawahnya ialah golongan baron atau tuan tanah yang memiliki kuasa sebenar. Golongan baron ini diberi tanah untuk diusahakan. Mereka terpaksa menghantar sebahagian daripada hasil mereka kepada raja. Sistem ini amat menyeksa golongan bawahan kerana tuan tanah akan memungut hasil yang tinggi serta memaksa mereka yang gagal membayar untuk menjadi hamba. Dalam keadaan ini, kuasa golongan tuan tanah telah mula mengancam kedudukan raja. Akibat ini, raja terpaksa bertindak menentang golongan baron ini untuk mengukuhkan institusi beraja. Kegagalan sistem feudal ini menyebabkan masyarakat Eropah berusaha untuk membina negara yang bercorak baru iaitu dalam bentuk negara bangsa.

Selain daripada itu, perang salib yang berlaku antara dunia Eropah dengan dunia Islam juga menyumbang kepada pertumbuhan negara bangsa. Ketika peperangan tersebut berlaku apabila pihak vatican menyuruh kerajaan-kerajaan Kristian melaksanakan perang suci 'holy war' demi menyelamatkan kota Jerusalem yang merupakan kota Jesus daripada jajahan empayar Islam. Peperangan tersebut menyebabkan golongan bangsawan kehilangan kuasa apabila tenaga serf yang mereka menyumbang kepada peperangan tersebut telah terkorban atau tidak kembali. Dalam keadaan ini, institusi raja telah mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kuasa mereka dengan menyatukan wilayah-wilayah bangsawan tersebut di bawah pemerintahan sendiri. Perang salib juga menyedari masyarakat Eropah tentang jurang perkembangan yang telah wujud antara mereka dengan tamadun Islam. Tamadun Islam ketika itu telah mencapai puncak kegeminlangan tetapi masyarakat Eropah masih dilanda Zaman Gelap. Kesedaran ini telah medesak orang Eropah untuk mengembangkan negara mereka untuk membina identiti dan mencapai kegemilangan diri. Hasil daripada semangat ini ialah pembinaan negara bangsa. Perang Salib merupakan satu peristiwa yang mempercepatkan keinginan serta kesangupan masyarakat Eropah untuk membina negara bangsa mereka.

Perkembangan ekonomi yang berlaku di Eropah ketika itu juga memudahkan transisi daripada negara feudal kepada negara bangsa. Pada ketika itu, revolusi pertanian dan seterusnya revolusi perindustrian sedang berlaku. Perkembangan ekonomi ini menghasilkan satu sumber kewangan yang banyak dan stabil. Dengan sumber kewangan ini, kerajaan pusat dapat memggaji tentera dan perkhidmatan awam demi rakyatnya. Para pengusaha dan pedagang juga menyokong tindakan kerajaan pusat mengukuhkan kuasanya kerana mereka memerlukan perlindungan demi menjamin harta dan nyawa mereka. Perkembangan ekonomi Eropah telah menyediakan sumber kewangan demi pembinaan negara bangsa.

Seterusnya, perkembangan bahasa kebangsaan juga menyumbang kepada proses pembinaan negara bangsa. Walaupun setiap wilayah Eropah mempunyai dialek sendiri, satu bahasa kebangsaan telah ditetapkan oleh raja demi menyatukan rakyatnya. Pembinaan bahasa kebangsaan telah mencipta satu identiti bangsa yang melahirkan semangat kebangsaan yang kuat. Sebelum penetapan bahasa kebangsaan, kebanyakkan Eropah mengguna bahasa Latin dan dialek-dialek sendiri. Di Perancis, tedapat lebih daripada 400 bahasa dan dialek yang berbeza. Ketidaksamaan bahasa menyusahkan proses menyatukan rakyat. Dengan menetapkan bahasa Perancis sebagai bahasa kebangsaan yang difahami semua, pengaruh bangsawan dalam daerah sendiri telah dikurangkan. Di samping itu, satu negara Perancis yang merangkumi semua suku Frank dapat dibina dan dikekalkan kerana rakyatnya dapat bergerak di seluruh negara tanpa halangan bahasa.

Gelaran dan anugerah juga diberi oleh raja demi memupuk kesetiaan daripada golongan bangsawan. Di England, gelaran-gelaran seperti duke, earl, baron dan count diberi kepada golongan bangsawan daripada raja sebagai anugerah demi perkhidmatan, sumbangan atau pengorbanan mereka demi raja. Selain daripada itu, gelaran Sir juga diberi kepada golongan askar yang telah menonjolkan diri dalam medan peperangan atau rakyat biasa yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara dan raja. Gelaran ini biasa diberi dengan tanah demi didiami dan diusahakan. Ini memudahkan raja mengawal tindakan-tindakan golongan bangsawan ini.

Satu lagi faktor yang mendorong golongan raja untuk membina negara bangsa ialah untuk mengawal kuasa gereja. Kuasa gereja yang mengancam kedudukan raja telah membimbangkan golongan pemerintah. Ketika itu, gereja mempunyai pengaruh dan kekayaan yang melebihi kerajaan pusat dan pentadbirannya bebas daripada campur tangan kerajaan. Demi menjamin kedudukan sendiri, raja telah bertindak untuk melemahkan pengaruh gereja. Antara usaha-usaha mereka ialah penubuhan gereja-gereja Kristian yang bebas pengaruh gereja Katolik di Rom seperti gereja Anglican dan Protestant. Kuasa gereja dilemahkan lagi apabila kuasa diberi kepada rakyat untuk melantik pemimpinnya. Setelah kerajaan pusat di negara-negara eropah telah membebaskan diri daripada kuasa gereja vatican, mereka telah mampu membina negara sendiri tanpa sekatan atau campur tangan luar.

Di Negara England tanda-tanda pembinaan Negara bangsa bermula apabila Duke William dari suku Norman di Utara Perancis telah menyerang dan menakluk seluruh England. Beliau telah melaksanakan beberapa usaha untuk mengukuhkan kuasa kerajaan pusat untuk mengelakkan pemberontakan. Antaranya ialah pembaharuan dalam perundangan dengan pembahagian system mahkamah kepada tiga bahagian. Usaha-usaha baginda telah diteruskan lagi oleh Henry II yang mengukuhkan kuasa mahkamah diraja danmengenalkan ‘Rule of Law’ yang menghapuskan undang-undang feudal. Piagam Agung yang disediakan oleh raja John telah menyebabkan kuasa mahkamah dikukuhkan oleh para pembesar. Apabila pengaruh pembesar telah dapat diakawal oleh institusi diraja di England, maka perhatian telah menumpulkan perhatian terhadap mengurangkan kuasa gereja. Pengaruh Paus di Vatican ketika itu sangat kuat. Demi mengatasi masalah ini, raja Edward I telah mengistiharkan England sebagai Dunia Kristian. Usaha melemahkan pengaruh gereja Vatican telah berjaya apabila raja Edward VIII telah berjaya mendirikan gereja protestant yang tidak berkaitan dengan gereja katolik. Usaha-usaha raja-raja England untuk melemahkan kuasa gereja dan para pembesar seolah-olah telah mengukuhkan kedudukan institusi beraja England serta membina sebuah Negara bangsa yang akan menjadi empire terulung pada suatu ketika nanti.

Negara bangsa Perancis dibina dengan pengabungan seluruh wilayah-wilayah Frankish. Pada peringkat awalnya, wilayah-wilayah Perancis didiami oleh suku Celts dan digelah sebagai Gaul oleh Rom. Apabila empayar Rom runtuh, orang gasar dari German telah memasuki tanah Perancis iaitu orang visigoths, burgundians dan Franks. Namun, suku Franks yang telah berjaya menyebarkan budayanya kepada seluruh penduduk Perancis. Dengan ini, suku Franks menjadi kaum yang dominan. Raja Louis telah menjadi Paris sebagai pusat pentadbirannya dan disinilah beliau memulakan usaha-usaha menyatukan semua wilayah Frank dibawah kuasanya. Setelah kematian Raja Louis, empayarnya telah dipecahkan kepada beberapa wilayah yang diketuai oleh Count. Apabila Perancis diserang oleh orang Norman, Rollo iaitu seorang bangsawan Norman yang berpengaruh telah dilantik sebagai vassal raja Perancis dan diberi tanah subur di utara negaranya di samping dikawin dengan puteri Perancis. Tindakan ini adalah untuk menyatukan negara Perancis dengan orang Norman dan berjaya membawa zaman kegemilangan Perancis.

Di Sepanyol pula, perkahwinan antara Kerajaan Aragon dan Castile iaitu antara Ferdinand dan Isabella telah memulakan pergerakan ke arah pembentukan Negara bangsa. Kedua-dua pemerintah ini telah terus bertindak untuk mengukuhkan institusi beraja dan mengurangkan pengaruh golongan pembesar. Dewan parlimen Sepanyol dibawah mereka telah mengembalikan tanah daripada golongan feudal kepada golongan raja. Golongan bangsawan telah dilarang membina istana dan perlantikan anggota gereja diletak di bawah kuasa mereka. Tindakan-tindakan ini semata-matanya telah melemahkan kuasa pembesar di samping mengukuhkan kuasa institusi beraja. Selain daripada itu, Institusi kristian Katolik juga diperalatkan untuk menamatkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Sepanyol dengan menyatukan mereka terhadap ancaman dunia Islam. Usaha-usaha Ferdinand dan Isabella telah memulakan proses pembentukan Negara bangsa di Sepanyol.

Pembentukan negara bangsa di Eropah merupakan satu proses yang mempunyai beberapa sebab dan punca. Walaupun setiap negara eropah menghadapi keadaan yang berbeza, mereka telah mencapai hasil yang lebih kurang sama iaitu pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti serta keistimewaan sendiri. Kemunculan negara bangsa di Eropah melambangkan titik permulaan zaman kegemilangan Eropah yang membolehkan masyarakat ini menguasai hampir seluruh dunia.