8/7/11

Sejauh manakah pertanian merupakan sumber ekonomi yang penting dalam tamadun Mesopotamia, Mesir dan China ?

Ekonomi merujuk kepada semua aktiviti atau kegiatan-kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh tamadun-tamadun awal. Aktiviti-aktiviti ini meliputi kegiatan pertanian, penternakan, perdagangan, pertukangan dan semua pekerjaan-pekerjaan lain yang dilakukan oleh masyarakat tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi dirinya serta negaranya. Biasanya, kegiatan-kegiatan ekonomi yang diceburi oleh sesebuah masyarakat berkait rapat dengan alam sekitar, iklim, kedudukan serta kehendak dan hasrat kerajaan.Terdapat perbezaan pertanian yang dijalankan dalam tamadun Mesopotamia, Mesir dan China.

Dalam Tamadun Mesopotamia, orang Sumeria menjalankan pertanian di sekitar Sungai Tigris dan Sungai Eupharates. Masyarakat Sumeria telah menanam pelbagai jenis tanaman iaitu bijirin dan sayuran. Antara tanaman bijirin utama ialahgandum, jagung, barli, sekoi, dan kurma manakala jenis sayuran pula seperti daun salad, bunga bawang, bawang putih, kunyit, ubi, sengkuang, lobak, dan lobak putih. Tamadun Mesopotamia ini diperintah oleh golongan raja. Oleh itu, secara tidak langsung sistem ekonominya bercirikan ekonomi berbentuk feudal. Tanah-tanah pertanian yang diusahakan oleh masyarakatnya telah diagih-agihkan mengikut struktur organisasi ekonomi yang berbentuk piramid.

Binatang ternakan yang diternak ialah seperti kambing biri-biri, kerbau, lembu dan keldai. Aktiviti penangkapan ikan juga dijalankan dengan menggunakan kail dan jala

Sistem ekonomi Mesir turut bergantung kepada kegiatan pertanian. Pertanian Mesir berkembang dengan pesatnya disebabkan Lembah Sungai Nil merupakan sebuah kawasan tanah delta yang begitu subur, luas ,dan rata. Bahan-bahan lanar sungai yang bewarna hijau yang sangat subur di Sungai Nil berpunca dari kawasan pergunungan ditengah Benua Afrika. Mengikut kajian penduduk Mesir telah menjalankan pelbagai jenis tanaman. Pada mulanya mereka mengusahakan tanaman seperti gandum, barli, millet, sayur-sayuran seperti lobak dan kacang, buah-buahan, kurma, menanam pokok papirus (untuk membuat bot,tali dan kertas) , kapas, menternak kambing, biri-biri dan lembu. Petani-petani Meir bijak menggunakan musim banjir di sungai Nil untuk keperluan pertanian. Mereka telah mencipta “Shadut” untuk mendapatkan air yang kemudiannya disalurkan ke terusan untuk tujuan pertanian . Mesir ketika itu diperintah oleh Firaun. Oleh yang demikian dipercayai seluruh tanah hasil pertanian dan barangan menjadi milik firaun kerana keseluruhan hasil-hasil bumi mesir telah diedarkan oleh ejen-ejennya.

Di China, sejak zaman berzaman lagi pertanian merupakan aktiviti utama ekonomi masyarakatnya. Ciri-ciri fizikal di negara China ini amat subur dengan lembangan sungainya yang rata dan amat luas seperti Sungai Hwang Ho. Aktiviti ekonomi bermula di zaman Dinasti Shang iaitu kira-kira pada 1600 S.M – 1046 S.M. Aktiviti ini bermula dengan tanaman gandum dan sekoi yang merupakan bijirin utama ditanam negara ini. Oleh itu, Dinasti ini bergantung penuh kepada pertanian dan petani merupakan sumber tenaga buruh yang penting.

Selain daripada pertanian, ketiga-tiga buah tamadun ini juga menjalankan kegiatan ekonomi yang lain seperti perdagangan dan juga perkilangan yang juga merupakan aktiviti ekonomi yang penting.

Tamadun Mesopotamia misalnya telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara-negara di sekitarnya seperti India, Mesir, dan negeri-negeri Mediterranean terutamanya yang berkaitan dengan logam, batu, bedak wangi, dan balak dari utara dan barat. Begitu juga dengan industri pengeluaran tekstil telah menjadi sangat penting terutamanya apabila kegiatan penenunan secara besar-besaran telah diusahakan oleh bengkel-bengkel yang menjadi milik organisasi besar seperti rumah berhala dan istana. Barangan eksport Mesopotamia terdiri daripada kain, barang kemas, dan senjata manakala perdagangan bulu dan kulit binatang pula menjadi pendapatan sampingan kepada masyarakat tamadun ini. Kepentingan dan keperluan perdagangan dibuktikan dengan adanya undang-undang tentang pertanian dalam Kod Undang-Undang Hamurabbi. Oleh itu,Raja berperanan penting menjaga pertanian supaya menghasilkan hasil pertanian yang banyak dan berkualiti.

Tamadun Mesir mempunyai hubungan perdagangan dengan yang baik dan penting dengan Babylos. Babylos membekalkan kayu kepada Mesir dan menjadi perantaraan dalam perdagangan dengan dunia luar. Babylos juga ialah pelabuhan entreport Mesir yang utama. Kepesatan perdagangan Mesir dengan dunia luar mulai bertambah menjelang tahun 2000 S.M. Mesir mempunyai hubungan dagangan dengan Palestine, Syria, Crete, dan Phonecia. Barangan eksport utama mesir ialah barli, gandum, kertas, tembikar dan tekstil. Barangan import Mesir ialah minyak zaitun, wain, jagung, gading gajah, emas, perak, dan balak. Raja memonopoli perdagangan dan menghantar wakil mereka yang dikenali sebagai pesuruhjaya diraja untuk menjalankan ekspedisi perdagangan. Oleh itu, perdagangan Mesir dapat dikembangkan dengan pesat.

Dalam Tamadun China pula, kegiatan perdagangan muncul dengan pesat terutamanya dengan adanya penggunaan sistem timbang dan sukat. Selain itu, kemajuan dalam sistem pengairan dan penggunaan baja telah menambahkan lagi pengeluaran pertanian mereka. Paling nyata adalah kelas pedagang dan kota-kota. Perusahaan yang dijalankan ialah membuat tembikar, barangan ukiran daripada kayu, gangsa dan jed serta menenun. Bidang tekstil pula merupakan industri domestik golongan petani dan menjadi hasil pengeluaran yang utama. Malah, berlaku peningkatan dalam pengeluaran dalam perlombongan dan garam. China, telah menjalinkan hubungan dengan perdagangan dengan India, Mesir, Mesopotamia, dan Rom. China telah mengesport sutera,tembikar, barang-barang ukiran kayu,gangsa, kulit binatang, kertas dan jed. Barangan import pula terdiri daripada gading dan kuda dari baka yang baik terutama dari negara-negara tropika, kaca, bulu dan linen.Sebenarnya, China lebih banyak mengeksport daripada mengimport dan ini menyebabkan negara China menjadi bertambah kaya dan makmur.

Kesimpulannya, ketiga-tiga buah tamadun maju berasaskan aktiviti pertanian. Namun demikian perkembangan aktiviti pertanian ini mula mewujudkan aktiviti perdagangan tempatan dan antarabangsa. Perkembangan perdangangan ini telah menjadi asas kepada pertumbuhan industri-industri penting seperti pembuatan tembikar, tekstil dan sebagainya. Jadi disini jelaslah bahawa kegiatan pertanian bukannya satu-satunya sumber ekonomi ketiga-tiga buah tamadun ini malah terdapat sektor ekonomi lain yang turut membantu dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment