3/3/10

1. Bandingkan organisasi ketenteraan yang diamalkan antara Tamadun Mesopotamia dengan Tamadun India

Pengenalan

Penubuhan organisasi ketenteraan penting dalam mengukuhkan ketahanan dan pertahanan sesebuah negara dalam tamadun awal. Organisasi ketenteraan melibatkan hal yang berkaitan jenis tentera, perkhidmatan logistik, strategi peperangan, taktik peperangan teknologi senjata dan sebagainya. Perkembangan tamadun awal seperti Mesopotamia dan India telah membawa kepada penubuhan organisasi tentera masing-masing untuk mengukuhkan pertahanan dan sekaligus muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai empayar yang besar. Organisasi ketenteraan antara Mesopotamia dan India berbeza berdasarkan keperluan negara masing-masing.

Isi

Organisasi tentera dalam tamadun India dapat dilihat dari sudut kategori tenterannya. Terdapat empat kategori tentera iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera berkereta kuda dan tentera infantry. Dalam pada itu terdapat juga tentera laut yang digunakan untuk mengangkut askar-askar ke medan peperangan. Pembahagain ini jelas ketika zaman pemerintahan Moghul dimana tenteranya dibahagikan kepada empat divisyen iaitu artileri, infantri, kalvari dan tentera laut. Manakala organisasi tentera Mesopotamia agak berbeza dimana mereka mempunyai tentera infantri dan tentera kereta kuda yang cekap dan berdisiplin. Kebanyakan mereka merupakan tentera professional dan dalam keadaan tertentu tentera professional ini dibantu oleh tentera yang dikerah oleh raja yang dikenali sebagai eren. Pada zaman Tiglathpileser III, tenteranya dibahagikan kepada dua jenis iaitu infantri ringan yang terdiri daripada tentera pemanah dan skingers, dan satu lagi jenis tentera yang dikenali sebagai infantry berat yang terdiri daripada lancers.

Dari segi pentadbiran tentera dan logistic, tentera Assyria di Mesopotamia amat mahir dalam pembinaan terowong, merobohkan kubu dan tembok pertahanan. Tentera Assyria sebenarnya merupakan organisasi tentera yang pertama pernah wujud di dunia dan paling awal menggunakan besi dan gangsa untuk membuta senjata, kereta kuda dan armor. Di India pula terdapat tentera laut yang digunakan untuk mengangkut tentera di sepanjang sungai utama di India. Terdapat juga ahli perubatan yang memberikan khidmat bantuan kepada askar-askar yang cedera ketika berperang.

Jika dilihat dari sudut komposisi tentera, raja di Mesopotamia mempunyai tenteranya sendiri. Sebagai contoh zaman Sargon, bilangan tentera diraja adalah sebanyak 5400 orang. Gabenor-gabenor wilayah pula mempunyai tenteranya tersendiri, misalnya wilayah Mari mempunyai 10 000 anggota tentera dimana 4000 daripada mereka ditempatkan di ibu kota. Di India pula berdasarkan catatan kitab Arthasastra, tenteranya dibahagikan kepada unit-unit kecil. Satu unit tentera tterdiri daripada 45 kereta kuda, 45 gajah, 225 kuda dan 675 tentera. Chandaragupta Maurya dikatakan mempunyai tentera seramai 600 000 orang yang Berjaya menakluki sebahagian besar India. Sementara Raja Chola, Rajaraja I menakluk kerajaan Calukya dengan angkatan tentera seramai 900 000 orang

Dari segi strategi peperangan, kekuatan tentera Assyria di Mesopotamia bergantung kepada kecekapan menggunakan senjata. Selain itu mereka juga mahir dalam perancangan strategi seperti merobohkan kubu-kubu dan tembok pertahanan. Mereka juga mahir dalam pembinaan terowong. Di India pula mereka membina kubu pertahanan bagi menghalang musuh. Contohnya, tembok yang panjang dibina di kota Rajagraha, ibukota Magadha untuk mempertahankan serangan musuh. Pembinaan kubu pertahanan yang klasik dapat dilihat di kawasan Kansubi dan Susulpalgarta di Drissa.

Taktik peperangan di Tamadun Mesopotamia sentiasa diperbaharui dengan memperkenalkan penggunaan kereta kuda secara meluas, malah mereka juga menggunakan kereta kuda dalam kempen peperangan di kawasan pergunungan. Selain itu tentera berkuda dilengkapi dengan busur. Bagi tentera pejalan kaki (infantri) pula mereka ini dilatih menjadi pemanah-pemanah yang handal. Keadaan ini berbeza dengan tentera infantri di India. Mereka dilengkapi dengan senapang dan mahir dalam penggunaan pedang. Sebagai contoh, Babar telah memperkenalkan senjata api dalam peperangan Panipat dan Khanwa. Beliau juga orang yang bertanggungjawab dalam penggunaan mortar dalam peperangan. Gajah pula digunakan sebagai kereta perisai. Sebagai contoh Raja Bimbisari dari Magadha mempunyai tentera bergajah yang besar dan terlatih. Penggunaan gajah dalam peperangan bertujuan untuk meruntuhkan pagar kubu, benteng pertahanan musuh dan pintu kota.

Berdasarkan Kod Hammurabi, tentera Mesopotamia tidak dibayar gaji, sebaliknya mereka diberi tanah yang tidak boleh dipindahmilik. Mereka juga diberi binatang ternakan dan harta rampasan perang sebagai ganjaran. Keadaan yang sama berlaku di India dimana tentera hanya diberi harta rampasan perang. Bagaimanapun pada zaman Moghul, para tenteranya diberi gaji tetap dari perbendaharaan diraja

Dari segi kelengkapan senjata, tentera Mesopotamia menggunakan lembing dan anak panah. Mereka tidak menggunakan perisai untuk mempertahankan diri. Di India, meriam, kayu pelontar, tombak, lembing, busur, dan pedang digunakan.

Peranan wanita agak penting dalam peperangan. Di Mesopotamia, wanita dihantar ke medan perang untuk membantu menyediakan makanan. Peranan yang agak sama juga berlaku di India dimana wanita di sini berperanan membekalkan makanan kepada para tentera.

Kesimpulan

Organisasi ketenteraan penting bagi mempertahankan Negara. Organisasi tentera yang sistematik dapat menjamin kemantapan sesebuah Negara dan seterusnya membina empayar yang besar. Walaupun setiap Negara mempunyai organisasi tentera yang berbeza tetapi matalamatnya tetap sama iaitu untuk mempertahankan Negara dan juga meluaskan wilayah masing-masing.

No comments:

Post a Comment