3/6/10

Sejauhmanakah faktor organisasi ketenteraan memainkan peranan dalam pengukuhan empayar Majapahit?

Majapahit merupakan sebuah empayar Alam Melayu yang diasaskan oleh Raden Wijaya setelah berjaya menewaskan Raja Jayakatwang dari Kediri pada 1293 Masihi. Pemerintahan kerajaan Majapahit dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu peringkat permulaan (1293-1350 Masihi), tahap agung (1351-1389 Masihi), dan tahap kemerosotan (1390-1520). Ini jelas memperlihatkan kerajaan Majapahit berkuasa selama 200 tahun iaitu pada akhir abad ke-13 hingga ke awal abad ke-16. Pada peringkat permulaan, khususnya semasa pemerintahan Raden Wijaya dan Jayanegara, keadaan politik tidak stabil kerana banyak pemberontakan tetapi Majapahit sampai ketahap keagungannya pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk yang dibantu oleh Perdana Menteri Patih Gajah Mada di atas beberapa faktor.

Salah satu faktor yang menjadi peranan penting dalam mendorong kebangkitan kerajaan Majapahit ialah kewujudan organisasi ketenteraan dalam kerajaan ini. Majapahit telah berjaya memperluaskan kuasa pemerintahannya kerana mempunyai organisasi ketenteraan yang teratur dan sistematik. Tentera dalam kerajaan Majapahit boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu Sapta Dharmaputra, Bhayangkari, dan Tentera Biasa. Sapta Dharmaputra ialah pasukan tentera elit yang terdiri daripada putera raja yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental. Bhayangkari pula terdiri daripada 15 orang anggota tentera bersenjata yang bertanggungjawab menjaga kawasan istana secara bergilir-gilir manakala Tentera Biasa merupakan tentera tetap dan sukarela yang berkhidmat di pusat dan daerah jajahan takluk Majapahit. Kerajaan Majapahit juga mempunyai barisan tentera laut yang kuat yang berperanan menjaga serta mempertahankan kawasan perairan Majapahit daripada serangan musuh disamping mengawal aktiviti lanun. Organisasi ketenteraan kerajaan Majapahit diketuai oleh Raja dan dibantu oleh Mangkabumi. Mangkabumi merupakan pegawai kanan tentera yang berperanan memberi arahan kepada tentera. Majapahit telah berjaya membina empayar kerana memiliki sistem pertahanan yang kuat iaitu organisasi ketenteraan yang mantap dan cekap diketuai oleh Raja dan dibantu oleh pegawai kanan ketenteraan.
Selain organisasi ketenteraan yang cekap, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyebabkan Majapahit muncul sebagai empayar yang kuat dan salah satunya adalah peranan Patih Gajah Mada. Patih Gajah Mada merupakan Perdana Menteri kerajaan Majapahit ketika Hayam Wuruk memerintah sehingga munculnya zaman keagungan kerajaan Majapahit. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berwibawa dan bertanggungjawab merangka program perluasan kuasa untuk kerajaan Majapahit. Program yang dirangka oleh Patih Gajah Mada dikenali sebagai Sumpah Nusantara atau Palapa pada abad ke 14 Masihi. Dengan adanya program ini, kerajaan Majapahit berharap agar dapat memperluaskan empayarnya. Program yang dirangka oleh Perdana Menteri Patih Gajah Mada ini ternyata berhasil sehingga menjadikan Majapahit sebuah empayar yang terkuat di Rantau Asia Tenggara. Majapahit berjaya menakluk wilayah yang luas dari Wanin di Irian hingga ke Langkasuka di Tanah Melayu. Ketika inilah juga kerajaan Majapahit mencapai tahap kegemilangannya.
Seterusnya, sesebuah kerajaan mahupun empayar tidak mungkin mampu bertahan tanpa seseorang yang berwibawa dalam memerintahnya serta memimpin kerajaan tersebut dalam segala hal ehwal pentadbiran. Dalam empayar kerajaan Majapahit, seseorang pemerintah yang cekap amat diperlukan memandangkan empayar jajahannya amat luas. Raja Hayam Wuruk telah memainkan peranan yang amat penting dalam pengukuhan empayar Majapahit. Baginda telah mentadbir Majapahit dengan cemerlang berikutan beberapa usaha yang bijak yang telah baginda lakukan iaitu sering mengadakan lawatan ke seluruh empayar jajahan takluk Majapahit bagi memudahkan kerja kawalan negara ataupun empayar jajahan. Hayam Wuruk juga kerap mengadakan persidangan tahunan yang dihadiri oleh semua menteri dan pegawai dari provinsi, daerah, kampung, dan wilayah naungan empayar Majapahit. Bukan itu sahaja usaha yang dilakukan malah Hayam Wuruk juga menjalinkan hubungan persahabatan dengan China untuk mengukuhkan kedudukan dalam empayar kerajaan Majapahit. Majapahit juga menjadi kaya dan makmur hasil daripada cukai dan ufti yang dibayar oleh rakyat seluruh jajahan takluknya.
Sebuah empayar yang luas seperti Majapahit sudah semestinya memerlukan sistem pentadbiran yang sistematik dan teratur. Kitab Negarakertagama mengandungi maklumat tentang organisasi pentadbiran Majapahit yang sistematik dan tersusun. Pada asasnya terdapat 3 unit pentadbiran yang membantu melicinkan pentadbiran kerajaan Majapahit. Unit pentadbiran yang pertama ialah Pentadbiran Pusat Majapahit yang dijalankan di istana, dan yang kedua merupakan Pentadbiran Majapahit Tulen yang diwujudkan di peringkat wilayah asal, manakala yang ketiga ialah unit pentadbiran kawasan jajahan takluk. Raja berkuasa mutlak dalam menerajui kerajaan dan baginda dibantu oleh Majlis Penasihat yang dianggotai oleh kerabat diraja. Selain itu, terdapat juga 3 golongan pegawai yang menjalankan pentadbiran iaitu Rakryan, Arya, dan Dang Akarya. Bagi melicinkan lagi pentadbiran empayar Majapahit, wilayah jajahannya dibahagi kepada 3 daerah iaitu Kawadanan yang diperintah oleh Wardana. Seterusnya Kawadanan dibahagikan kepada unit yang lebih kecil iaitu Pakwan yang diperintahan oleh Akuwa, manakala, unit yang paling kecil ialah kampung yang ditadbir oleh Bunyut.
Untuk menghadapi masalah-masalah sosial yang berlaku, kerajaan Majapahit bertindak mewujudkan sistem perundangan bagi tujuan merangka undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat empayarnya. Sistem perundangan yang diwujudkan oleh Majapahit adalah bercorak Hindu-Jawa yang dikenali sebagai Kuntaramanawa yang disesuaikan daripada Undang-undang Manu meliputi Astadusta (pembunuhan), Astacorah (kecurian), dan Sahasa (keganasan, penipuan, perkhwinan dan sebagainya). Raja bertindak sebagai ketua kehakiman yang digelar Sang Amawabhumi dan terdapat 2 hakim tinggi iaitu Dharmadhyaksa Ring Kesaivan dan Dhamadhyaksa Ring Kasogotan. Hakim tinggi pula dibantu oleh 7 orang Upapati yang dikenali sebagai Sang Pemegat. Sistem yang diwujudkan amat sistematik dan akan dapat mengawal masalah dalaman empayar kerajaan Majapahit.
Nilai kesusasteraan, kesenian, dan kebudayaan yang wujud dalam sesebuah kerajaan dahulu mencerminkan ketinggian tahap ketamadunan masyarakat kerajaan tersebut dan dikira sebagai sebuah kerajaan yang seimbang dan mempunyai nilai kemasyarakatan. Dalam empayar kerajaan Majapahit, bidang kessusasteraan, kesenian, dan kebudayaan giat dijalankan dalam kalangan masyarakat setempat. Terdapat banyak karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh sesetengah golongan semasa penguasaan empayar Majapahit seperti Negarakertagama, Pararaton, dan TantuPanggelaran. Negarakertagama adalah sebuah karya sejarah terkenal yang dihasilkan oleh Prapanca pada tahun 1365 Masihi. Selain itu, terdapat juga penyair-penyair agung seperti Budhaditya, Sri Mudali Sanerdaya, dan Sudarhma. Kegiatan kebudayaan dan kesenian dijalankan dengan adanya pertunjukan wayang kulit mengenai kisah-kisah dalam epik Ramayana dan Mahabrata kerana Hayam Wuruk turut meminati lakonan dan tarian.
Konklusinya, terdapat banyak faktor yang mendorong empayar kerajaan Majapahit muncul sebagai sebuah empayar yang kuat. Selain faktor ketenteraan, Majapahit juga mempunyai sistem pentadbiran yang cekap, kewibawaan rajanya dan sebagainya. Akan tetapi, empayar kerajaan Majapahit mula mengalami kemerosotan selepas kemangkatan Hayam Wuruk pada tahun 1389 Masihi. Perebutan tahta berlaku, ketiadaan pemimpin berkaliber seperti Patih Gajah Mada serta kemunculan kerajaan-kerajaan Islam yang kuat dan berpengaruh juga telah membawa kepada keruntuhan empayar Majapahit.







No comments:

Post a Comment