3/6/10

Jelaskan struktur organisasi ketenteraan dalam tamadun India pada zaman klasik.

Organisasi ketenteraan di India adalah sistematik dan teratur pada Zaman Klasik. Hal ini dapat dilihat dari segi jenis tentera yang dimiliki, perkhidmatan logistik, strategi dan taktik peperangannya serta teknologi senjata.

Tentera India dibahagikan kepada empat kategori asas iaitu tentera berkereta kuda, tentera bergajah, tentera berkuda dan infanteri. Tentera bergajah menjadi unit penggempur yang berkesan dan destruktif kerana gajah boleh memecahkan barisan-barisan musuh, meruntuhkan pintu kota dan khemah-khemah musuh. Tentera yang berada di atas gajah mempunyai pandangan yang jelas untuk memanah dan merenjam lembing. Kereta kuda pula digunakan dengan meluas pada zaman Maurya. Namun pada zaman Gupta, kereta kuda berperanan dalam bidang pengangkutan sahaja. Selain itu, tentera laut turut menjadi unit peperangan India yang amat penting. Contohnya, raja-raja Dinasti Chola yang sering menyerang kerajaan Asia Tenggara mempunyai angkatan laut yang besar dan kuat dan ini sering menjadi faktor kemenangannya.

Organisasi tentera yang mantap jelas dapat dilihat dari sudut komposisi tentera. Kitab Arthasastra mempunyai maklumat mengenai pembahagian tentera ini. Menurut kitab ini unit asas tentera India ialah patti atau platun yang terdiri daripada seorang tentera bergajah, seorang tentera kereta berkuda, tiga orang tentera berkuda dan lima orang tentera biasa. Gabungan tiga patti akan membentuk senamukka. Tiga senamukka akan membentuk satu gulma. Gabungan beberapa gulma akan membentuk aksauhini atau angkatan tentera yang lengkap. Pembahagian sebegini memperlihatkan pentadbiran tentera yang cekap dan sistematik.

Struktur organisasi ketenteraan juga dapat dikesan daripada bilangan anggota tentera yang ramai dalam sesuatu peperangan. Daripada rekod yang pernah dicatat, pemerintah India memiliki bala tentera yang besar. Misalnya, tentera Maurya terdiri daripada 600,000 tentera. Raja Nanda pula mempuyai 20 000 tentera kalvari, 2000 kereta kuda dan 200 000 tentera infantri. Selaian itu belau juga mempunyai 1000 hingga 6000 ekor gajah. Ini membuktikan pemerintah di India mempunyai keupayaan untuk mengawal dan memimpin bilangan tentera yang ramai.

Biasanya tentera India diketuai oleh raja sendiri. Raja dibantu oleh panglima-panglima yang handal yang juga merupakan kerabat diraja. Panglima-panglima ini diketuai oleh seorang panglima agung yang dinamakan mahasenapati. Di bawah golongan panglima ialah kumpulan kapten yang digelarkan nayaka atau pandanayaka. Mereka terdiri daripada kalangan kaum bangsawan India.

Organisasi tentera yang teratur dapat dilihat kerana adanya pejabat peperangan yang terdiri daripada 6 badan iaitu Admiralty. Selain itu, terdapat juga badan dalam bidang pengangkutan, mekanik dan pemukul gendang. Badan lain yang mengawal infanteri , tentera berkuda, tentera berkereta kuda dan tentera bergajah turut diadakan. Maharaja Chandragupta Maurya dipercayai sentiasa mendengar laporan daripada perisik-perisiknya serta memeriksa barisan tenteranya dan kubu-kubunya. Organisasi ketenteraan yang baik dan teratur serta pejabat peperangan yang sentiasa bersedia membolehkan Dinasti Maurya mengalahkan tentera Greek di bawah General Seleucus.

Berbanding dengan tentera tamadun purba yang lain, pedang adalah senjata penting bagi askar India. Terdapat pelbagian jenis pedang yang digunakan untuk pelbagian tujuan yang berbeza. Antara yang digeruni ialah pedang nistrimsa. Selain pedang, lembing juga merupakan senjata yang biasa digunakan. Busur panah tentera India boleh mencapai lebih dari satu meter panjang dan diperbuat daripada buluh. Antara peralatan yang digunakan ialah alat pelantak. Semasa Babur (Baber) menyerang Punjab pada tahun 1526, beliau telah membawa masuk senjata meriam. Terdapat juga peralatan yang digunakan untuk merobohkan kubu dan tembok pertahanan musuh. Penggunaan pelbagai peralatan perang ini membolehkan tentera India mencapai kejayaan dalam medan peperangan.

Selain itu, kubu-kubu pertahanan turut dibinakan. Kota-kota pertahanan di India mempunyai tembok yang tinggi, tebal dan kukuh. Pintu gerbangnya juga tebal dan kuat. Biasanya parit-parit besar dibina di sekeliling kota. Kota Durgal misalnya dikeliling oleh tiga batang parit. Semasa Sultan Mahmud Ghaznawi menyerang kota Kanauj pada tahun 1019, beliau dapati kota tersebut mempunyai tujuh pintu gerbang. Kota Pataliputra iaitu pusat pemerintahan kerajaan Maurya dan Gupta mempunyai 64 pintu gerbang dan 570 menara kawalan.

Kesimpulannya, organisasi yang mantap seperti tamadun India ini dapat meluaskan wilayahnya. Kestabilan politik dan keamanan sejagat turut dapat diwujudkan dengan kekuatan angkatan tentera dan organisasi tentera yang sistematik. Ini melatakkan asas bagi kelahiran empayar-empayar yang besar seperti Maurya dan Gupta pada zaman klasik.

No comments:

Post a Comment